ADAB MENUNTUT ILMU HIKMAH
Dalam
usaha kita untuk menuntut ilmu, seharusnya kita mengetahui dahulu betapa
perlunya adab-adab sebelum menuntut ilmu. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan
kata-kata Ibnul Mubarak dalam sebuah kitab beliau:
“Aku
memperlajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua
puluh tahun. Dan adalah mereka (ulama’) mempelajari adab kemudian mempelajari
ilmu” [Mansuah al Adab al Islamiah : 15]
Pada
pandangan saya, perlunya adab dan ilmu boleh diumpamakan seperti ‘adunan
untuk membuat roti‘. Adab diumpamakan seperti gandum dan ilmu diumpamakan
seperti garam. Hendaklah kita memperbanyakkan gandum berbanding garam namun
nisbah tersebut haruslah sekata supaya gandum dan garam yang diadun sempurna
nisbahnya. Dan ketahuilah, memperbanyakkan adab bersama ilmu yang sedikit lebih
baik daripada memperbanyakkan ilmu berbanding adab yang sedikit.
Dalil Menuntut Ilmu
Dalam
Surah at Taubah ada menyebut bahawa bukan semua di antara kita pergi untuk
berjuang (berjihad). Makanya wajib sebahagian di antara kita pergi
memperdalamkan ilmu agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan
tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi
berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di
antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara
mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar
kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka;
mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” [At
Taubah 9 : 122]
Dan
dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sekiranya Allah SWT ingin
memberikan hambanya kebaikan, maka Allah SWT akan memberikannya kefahaman dalam
agama. Perkara ini yang harus dikejar oleh setiap muslim agar dekat kepada
kebaikan yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan menuntut ilmu. Sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud:
“Sesiapa
yang dikehendaki oleh Allah SWT baginya akan kebaikan, nescaya Allah SWT akan
memberinya kefahaman dalam agama” [HR Bukhari dan Muslim]
Adab Menuntut Ilmu
01.Niat yang ikhlas
Menuntut
ilmu bukan untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk mendapat kerja yang bagus,
untuk dikatakan orang yang bijak atau pelbagai lagi niat yang lain melainkan
hanya kerana Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa
yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki
menuntut ilmu (sebaliknya) selain daripada Allah SWT, maka disediakan tempat
duduknya daripada neraka.” [HR Tarmizi]
Niat
itu sendiri memainkan peranan yang tinggi dalam sesuatu amalan. Setiap amalan
kita akan dinilai oleh Allah SWT berdasarkan niat. Maka niatlah segalanya hanya
kerana Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tahu apa yang terdetik dalam
hati tiap-tiap manusia.
02.Beradab dengan
orang yang memberi ilmu
Imam
Syafie pernah bekata:
“Sesiapa
yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia berkhalwah, sedikit
makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang
yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan mereka yang
berilmu” [Kitab Majmuk, Syarah Mazhab, jilid 1, m/s 31]
Pada
pendapat saya dalam hal beradab dengan guru, ia memerlukan perbahasan yang
panjang. Namun secara ringkasnya bagi kita sebagai penuntut, adab-adab ini
haruslah disesuaikan mengikut situasi. Janganlah kita terlalu menghormatinya
sehinggakan mengakui kesilapan yang guru itu lakukan dan janganlah juga kita
terlalu memperlecehkan sehingga guru itu tidak ikhlas dalam memberi ilmu kepada
kita. Hormatnya kita akan guru berubah mengikut situasi dimana hormatnya
seorang kanak-kanak tadika dengan gurunya berbeza dengan hormatnya mahasiswa
dengan pensyarah.
03.Bersabar dalam
menuntut ilmu
Imam
Syafie pernah berkata:
“Tidak
diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan.” [Kitab Muntalaqat
Talib al Ilmi, Husin Ya’cob, m/s: 237
04.Tulis setiap
yang dipelajari
Sahabat
Rasulullah SAW sendiri menulis jika ingin menuntut ilmu, adakah kita lebih baik
dari mereka dengan tidak menulis apa yang dipelajari?
Abu
Hurairah berkata:
“Tidak
ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan
hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis
dan aku tidak menulis” [HR Ahmad dan Baihaqi]
05.Rendah diri
Imam
Ahmad bin Hambal berkata:
“Kami
diperintahkan supaya tawadhu’ (rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari
ilmu daripadanya.” [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya’cob, m/s 274]
06.Menjahui dari
kenyang yang berlebihan
Ibn
Jama’ah berkata:
“Sebesar-besar
perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa
jemu adalah makan sekadarnya daripada makan yang halal.” [Kitab Fadhlu al Ilmi
wa Adab Talabihi, m/s 222]
07.Tidur yang
sedikit
Firman
Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya
orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air,
mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka
sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit
sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada
Allah SWT).” [Az Zariyat 51 : 15 – 18]
08.Kurangkan
berkata-kata yang tidak menfaat
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa
yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan
yang baik ataupun diam.” [HR Bukhari dan Muslim]
PENUTUP:
Tiada
adab yang lebih sempurna melainkan kita mengikuti adab Rasulullah SAW dan adab
mereka yang segenarasi dengan Rasulullah SAW (sahabat), generasi setelahnya
(tabi’in) kemudian setelahnya (tabi’ tabi’in).
Saya
menasihati para pembaca sekalian agar dalam usaha kita untuk menuntut ilmu
agama, seharusnya memperbanyakkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Namun
adab-adab tersebut seharusnya jangan terlalu ‘fanatik’ sehinggakan
memperbetulkan apa yang salah dari mereka yang kita hormati. Manakah yang
kalian lebih cintai sama ada pemberi ilmu atau kebenaran? Dan kebenaran itu
juga seharusnya dengan ilmu.
Hanya
ilmu yang layak untuk menjadi pegangan kita sebagai ummat akhir zaman ialah al
Quran, as Sunnah dan sunnah Khulafa’ al Rasyidin seperti sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:
“Sesungguhnya
barangsiapa di antara kalian yang hidup sepeninggalanku nanti, maka ia akan
melihat perselisihan yang banyak. Oleh kerana itu wajib bagi kalian untuk
berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah al Khulafa al Rasyidin yang terbina
dan terbimbing. Berpeganglah erat-erat denganya dan gigitlah ia dengan gigi
gerham.” [HR Abu Daud, at Tarmidzi dan lain-lain]
Tinta saya hanyalah dari ilmu yang sedikit namun
kerana kesedaran betapa pentingnya adab dalam menuntut ilmu maka saya kongsikan
apa yang terbaik dari ilmu yang sedikit ini. Saya memohon dari para ‘alim dari
segala ilmu untuk menegur jika terdapat salah dan silap dari apa yang saya
kongsikan ini. Sungguh tiada yang lebih benar melainkan dari al Quran dan as
Sunnah Rasulullah SAW.